Di sebalik Mie Naruto

Di sebalik Mie Naruto

Tuesday 16 April 2013

Panduan Temuduga Pembantu Tadbir (Kewangan) W17


Pada kali ini, tibalah giliran untuk kami kongsikan panduan temuduga untuk jawatan Pembantu Tadbir (Kewangan) Gred W17. Pertama sekali, anda sebagai calon harus mempunyai idea tentang kadar persaingan bagi jawatan Pembantu Tadbir (Kewangan) W17. Kenapa ianya penting? Pengetahuan kadar persaingan ini akan memberikan anda idea tentang berapa banyak usaha dan tenaga yang harus dicurahkan bagi mempersiapkan diri.

Usaha dan tenaga yang bagaimana? Ini bergantung kepada berapa banyak pesaing anda. Sekiranya tinggi, itu bermakna anda harus melengkapkan diri seteliti mungkin bermula daripada penyediaan resume yang menarik dan lengkap, asas temuduga perjawatan awam, pengetahuan khas berkenaan bidang tugas jawatan yang dipohon dan juga kemahiran menggunakan bahasa Inggeris.

Jadi kita mula dengan statistik pengambilan jawatan Pembantu Tadbir (Kewangan) W17 yang diambil daripada portal rasmi SPA. Jumlah permohonan yang diterima untuk mendapatkan jawatan ini adalah sebanyak 36 307, sementara calon yang terpilih untuk menjalani sesi temuuga adalah seramai 4 161 orang sahaja. Kalau berdasarkan jumlah kekosongan jawatan yang ada setakat ini yakni 220 tempat maka peratus peluang lulus setiap calon cuma setinggi 5.28% sahaja!

Ini adalah peratus peluang lulus yang amat rendah. Kadar yang baik adalah sekitar 30.00% (pada masa kini) dan ini tentulah bermakna usaha lebih mesti diambil untuk meningkatkan peluang anda lulus. Inisiatif perkongsian 4 panduan temuduga Pembantu Tadbir (Kewangan) W17 kami di bawah diharapkan meninggikan sekurang-kurangnya lagi 5% - 10% kadar peluang lulus anda. InsyaAllah.

1. Penyediaan resume yang menarik dan lengkap

Biasanya, sesi temuduga memerlukan calon untuk menghantarkan resume bersama dengan dokumen asal dan salinan bagi kad pengenalan dan sijil-sijil akademik yang lain. Resume menjadi perkara wajib untuk setiap temuduga kerja sektor swasta. Namun, bagi sektor kerajaan seperti jawatan Pembantu Tadbir (Kewangan) W17 ini, ia tidak semestinya tetapi elok juga jika disediakan awal-awal. Manalah tahu kalau-kalau ia dikehendaki di saat-saat akhir. Nanti kelam-kabut pula jadinya kan.

Untuk lebih pasti tentang keperluan penyediaan resume ini, sila berhubung dengan pihak SPA melalui talian telefon yang disertakan di dalam surat panggilan temuduga anda. Sekiranya ia memang diperlukan, resume yang disediakan hendaklah dalam format yang betul dan mencakupi keseluruhan keperluan yang dikehendaki. Untuk merujuk cara menulis resume yang betul, kami galakkan anda membaca Panduan Menulis Resume Diri Yang Komprehensif.

2. Asas temuduga perjawatan awam

Berita baik yang anda perlu ketahui mengenai sesi temuduga adalah terdapat bahagian-bahagian wajib di dalam temuduga yang jarang berubah dan stereotaip dalam di antara satu temuduga dengan temuduga yang lain. Jadi bahagian ini memang mudah untuk diskor sekiranya diketahui oleh para calon. Bahkan inilah salah satu daripada peluang anda untuk menaikkan lagi peratusan lulus untuk terpilih menjawat jawatan berkenaan.

Antara bahagian wajib yang disoal di dalam setiap sesi temuduga kerja kerajaan adalah seperti memperkenalkan diri, alasan memilih kerja kerajaan, kenapa anda layak diberikan jawatan ini dan beberapa soalan lagi. Untuk senarai lengkap soalan-soalan wajib temuduga kerja kerajaan dan juga skema jawapan yang sesuai, boleh rujuk Panduan Temuduga Kerja Kerajaan.

3. Pengetahuan khas berkenaan bidang tugas jawatan yang dipohon

Soalan seterusnya yang akan diajukan kepada para calon adalah berkenaan pengetahuan khas mengenai bidang tugas sebagai seorang Pembantu Tadbir (Kewangan) W17. Pihak kami berani katakan, tidak lebih daripada 60% daripada calon yang dipanggil menyediakan diri di dalam bahagian ini. Ini juga peluang yang anda mesti rebut.

Sebagai seorang Pembantu Tadbir (Kewangan) W17, anda seharusnya pernah mendengar 'Akta Acara Kewangan 1957', 'Arahan Perbendaharaan' dan 'Panduan Perbendaharaan Tatacara Pengurusan Stor'. Cari dan baca kandungan 'Arahan Perbendaharaan' seperti di bawah:

a. Bab A

- Prosedur Kewangan.
- Kumpulan Wang Disatukan.
- Anggaran Hasil Dan Perbelanjaan.
- Pindah Peruntukan Dan Anggaran Tambahan.

b. Bab B

- Prosedur Perakaunan.

Bahagian I : Mengawal Terimaan, Bayaran dan Menyimpan Wang Awam

- Am.
- Terimaan.
- Bayaran.
- Panjar.
- Kebankrapan.
- Cek dan Draf.
- Peti Besi atau Bilik Kebal.

Bahagian II : Prosedur Perolehan Bekalan Perkhidmatan dan Kerja

- Am.
- Pembelian, Tender dan Kontrak.
- Perabot dan Kelengkapan Pejabat.
- Percetakan dan Alat Tulis.

c. Bab C Audit, Kehilangan dan Prosedur Hapuskira.

Baca juga kandungan 'Panduan Perbendaharaan Tatacara Pengurusan Stor' yang merangkumi:

- Penerimaan Barangbarang.
- Tuntutan.
- Sistem Penyimpanan Stok.
- Pelupusan Barangbarang.
- Kawalan-kawalan Barang Tak Luak.

4. Kemahiran menggunakan bahasa Inggeris

Jangan tidak tahu, bahasa Inggeris juga diaplikasikan di dalam sesi temuduga kerja sektor awam. Berdasarkan perkongsian pembaca-pembaca blog ini rata-rata daripada mereka disuruh memperkenalkan diri dan menyatakan alasan memilih sektor awam di dalam bahasa Inggeris. Bahkan ada temuduga yang dijalankan 50% dalam bahasa Inggeris.

Jadi adalah menjadi satu hal kritikal untuk anda mempersiapkan diri dalam penguasaan bahasa Inggeris yang baik. Untuk rujukan cara menguasai bahasa Inggeris yang cepat, barangkali Panduan Menguasai Bahasa Inggeris Dengan Pantas Ini anda boleh gunakan.

Lakukanlah persediaan terhadap hal-hal yang dibincangkan di atas. Kejayaan tidak datang dengan mudah. Ia mendambakan usaha dan persiapan yang rapi. Didoakan kejayaan anda dan selamat menduduki temuduga.

P/s: Sila kongsikan tips ini dengan rakan lain sekiranya anda rasakan ia bermanfaat.

No comments: